Jantung Juga BERFIKIR ??

Hasil kajian daripada salah seorang penyelidik iaitu Dr. J. Andrew Armour amat memeranjatkan apabila mendapati bahawa 60-65% komposisi jantung ialah sel-sel saraf seperti otak~

Jantung berdegup kencang tatkala kita berhadapan dengan orang yang disukai atau dicintai. Hal ini berlaku spontan selari dengan perubahan emosi kita. Begitu juga apabila kita sedang marah kepada seseorang, kita akan berasa sakit hati. Perasaan itu seolah-olah terpampang di hati dan tidak pada otak kita ..

Kecil-kecil Cili Padi
Walaupun saiznya hanya sebesar genggaman tangan manusia dan mempunyai berat sekitar 300-350gram, jantung merupakan salah satu organ yang paling penting di dalam badan kita. Melalui pembuluh-pembuluh darah, jantung bersambung terus dengan semua organ di dalam badan kita untuk membekalkan oksigen dan nutrien kepada badan. Ia terdiri dari 2 pam kiri dan kanan yang berdampingan. 


Misteri Hubungan Jantung dan Otak
Beberapa tahun sebelum ini, para saintis hanya mengkaji jantung dari sudut fisiologi dan patologi dan mereka hanya mengetahui fungsi jantung sebagai organ yang mengepam darah dan tidak lebih daripada itu. Namun, pada masa kini, kajian para saintis telah menemukan bahawa jantung juga mempunyai peranan dalam mempengaruhi psikologi, emosi dan mampu memberi kesan bagi setiap aktiviti pada otak manusia. Di dalam jantung seseorang terdapat kira-kira 40,000 sel saraf yang dikenali sebagai sensory neuritis yang berfungsi mengawal denyutan jantung, menghasilkan hormon dan menyimpan maklumat seperti otak. Kajian oleh 2 orang penyelidik, John dan Beatrice Lacey juga mengesahkan bahawa adanya signal yang mengalirkan maklumat dari jantung ke otak melalui cara tertentu. Signal-signal (aliran arus elektrik) secara dua hala antara jantung dan otak inilah yang akan mempengaruhi emosi dan bagaimana kita bertindak menghadapi persekitaran kita. Maka tidak hairanlah sekiranya kita perlu mendengar, berfikir, dan membuat keputusan berdasarkan rasa hati (jantung) kita, bukan hanya semata-mata berdasarkan logik akal kita.

Jantung juga adalah organ yang cukup unik kerana ia mendahului otak. Ia merupakan organ pertama yang berfungsi iaitu sekitar 3 hngga 4 minggu selepas persenyawaan. Otak pula hanya mula berfungsi sekitar minggu ke-13 dan ke-14. Ini menunjukkan jantung terlebih dahulu berfungsi berbanding otak dan ia boleh berfungsi tanpa arahan daripada otak. Di peringkat janin, jantung janin dan ibunya sering berkomunikasi dan proses inilah yang menjalinkan ikatan mesra antara ibu dan anak yang bakal lahir.

Jantung Penyimpan Memori
Menurut Prof. Gary Schwarts dan Prof. Linda, pakar psikiatri di Universiti Arizona, jantung mempunyai keupayaan untuk menyimpan dan memproses sesuatu maklumat. Kajian mereka terhadap pesakit yang menjalani pemindahan jantung agak mengejutkan apabila mendapati semua pesakit
mengalami perubahan emosi dan psikologi selepas menerima jantung baru. Dalam satu kes, seorang lelaki telah menjalani pemindahan jantung daripada seorang suami yang membunuh diri atas tekanan hilang pedoman agamanya. Lelaki tersebut telah bertemu dengan janda lelaki yang membunuh diri dan berasa seolah-olah telah lama bertemu dan sangat mengenali wanita tersebut. Yang lebih mengejutkan, lelaki tadi yang dahulunya seorang yang kuat beragama berubah menjadi seorang yang tidak percayakan tuhan dan akhirnya dia juga membunuh diri dengan cara yang sama. Dalam satu kes lain, seorang lelaki tua telah menjalani pemindahan jantung tiruan mengadu bahawa dia tidak lagi mempunyai perasaan sayang terhadap cucu-cucunya, tidak lagi tertarik kepada duit mahupun kehidupannya. Kes-kes ini membuktikan bahawa jantung mepunyai program khusus yang mampu menyimpan memori. Program tersebut seterusnya menghantar memori ke otak untuk diproses. Justeru itu, perubahan psikologi boleh berlaku terhadap penerima jantung baru.

Jantung dalam Islam
Dari perspektif agama Islam, kebolehan dan kemampuan hati (jantung) untuk berfikir telah sedia tercatat di dalam Al-Quran. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 46 yang bermaksud :

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai jantung (hati) yang dengan itu mereka dapat memahami atau mendengar? Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah jantung (hati) di dalam dada."

Nabi Muhammad s.a.w juga telah menerangkan fungsi jantung yang boleh berfikir dan mempengaruhi emosi dan tindak-tanduk seseorang. Beliau bersabda : "Di dalam badan terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota badan. Ia adalah jantung (hati). "

Kebenaran ayat Al-Quran ini diperkuatkan lagi dengan kajian oleh para saintis yang membuktikan bahawa jantung juga mampu berfikir dan mempunyai daya ingatan seperti otak. Oleh itu, semoga kita sama-sama menghargai dan menjaga anugerah yang telah diberikan tuhan ini dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Sumber:  Buletin Kembara Ilmu. edisi khas 2011 JKPTG

No comments: